Saturday, May 17, 2008

TAUFAN MYANMAR

Pusat cuaca PBB kesan satu lagi ribut tropika dijangka bawa bencana iringi Nargis

BANGKOK: Taufan kedua diramalkan menghampiri Myanmar semalam, kurang dua minggu selepas negara itu dilanda bencana yang membunuh berpuluh ribu penduduknya.

Pusat cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesan satu lagi ribut tropika yang diramalkan bertukar menjadi taufan, kata Amanda Pitt, jurucakap bagi program bantuan kemanusiaan badan dunia itu di Bangkok.
"Ini adalah berita yang amat buruk," katanya kepada pemberita sambil menambah bahawa ia boleh menjejaskan lagi kedudukan mangsa Taufan Nargis yang melanda 3 Mei lalu yang sebahagiannya masih lagi menunggu untuk mendapat bantuan.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menyebut bila atau di mana taufan itu akan mendarat atau bila ia boleh bertukar menjadi taufan yang sedang dipantau Pusat Cuaca Taufan Bersama, sebahagian daripada Pusat Meteorologi Dunia PBB.

Pusat itu melalui laman webnya berkata ada kemungkinan pembentukan satu taufan tropika yang hampir sama dalam masa 24 jam akan datang.
Negara itu dilanda Taufan Nargis pada 2-3 Mei lalu menyebabkan lebih 60,000 penduduk maut atau hilang.

Pitt berkata jika amaran taufan itu menjadi kenyataan usaha bantuan kepada mangsa Nargis akan terjejas.

"Ini sentiasa membimbangkan apabila anda ditimpa bencana yang menjejaskan penduduk," katanya sambil menambah bahawa ia memberi kesan kepada keupayaan penduduk untuk hidup dan menangani apa yang dihadapi mereka.

"Mereka sudah sedia lemah. Ini adalah satu masalah besar dan sudah tentu memberi kesan terhadap usaha menyediakan bantuan kepada mangsa," katanya.
PBB mengetuai usaha menyelamat antarabangsa yang cuba untuk membantu junta Myanmar mengagihkan bantuan. Setakat ini, usaha itu terbantut berikutan kelewatan junta meluluskan kemasukan bantuan dan pakar sehingga dikritik kebanyakan pertubuhan penyelamat dan dikecam mangsa yang mendakwa bantuan masih belum mencukupi. - AP

No comments: