Saturday, May 17, 2008

PELANCONG MALAYSIA GAGAL DIKESAN

IPOH 14 Mei – Nasib 26 rakyat negara ini yang melancong ke Sichuan, China yang dilanda gempa bumi kelmarin masih belum diketahui.
Kumpulan pelancong dari Perak itu melancong ke wilayah yang terletak di barat daya negara berkenaan menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan Golden Dragon Tour Sdn. Bhd. pada 9 Mei lalu.
Mengikut jadual lawatan, kumpulan itu yang membawa pelancong berusia antara 50 hingga 90 tahun sepatutnya pulang ke tanah air Jumaat ini.
Pengurus Jualan dan Pelancongan agensi yang berpejabat di Ipoh itu, Andy Kong berkata, sejak wilayah Sichuan dilanda gempa bumi, pihaknya gagal menghubungi pemandu pelancong yang mengetuai kumpulan itu dan juga pihak hotel di tempat mereka menginap.
Katanya, usaha itu tidak berhasil mungkin kerana talian telekomunikasi di kawasan Sichuan terputus akibat bencana tersebut.
“Setakat ini, pemandu pelancong juga tidak menghubungi pihak kami dan keluarga kumpulan pelancong terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut laporan akhbar, sehingga pukul 12 tengah malam tadi, iaitu selepas lebih 34 jam gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter itu berlaku, sekurang-kurangnya 12,000 mangsa terkorban.
Menurut Andy, semasa kejadian gempa bumi berlaku, kumpulan pelancong itu sepatutnya turun dari Jiuzhaigou iaitu sebuah kawasan pergunungan untuk makan tengah hari di Maoxian.
Katanya, kedua-dua tempat tersebut terletak di dalam wilayah Sichuan.
“Sekiranya kumpulan itu sempat pergi ke Maoxian, mereka mungkin selamat,” katanya.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Ayauf Bachi berkata, sehingga kini nasib pelancong-pelancong Malaysia terbabit masih belum diketahui.
“Pihak berkuasa China telah menubuhkan satu pasukan khas awal pagi ini untuk mencari pelancong asing (yang dilaporkan hilang).
“Kami ketika ini menjalin kerjasama dengan mereka (pihak berkuasa China) bagi mengesan pelancong kita itu,” katanya kepada Bernama.

TRAGEDI NGERI

Nak cari gambar lain



TAUFAN MYANMAR

Pusat cuaca PBB kesan satu lagi ribut tropika dijangka bawa bencana iringi Nargis

BANGKOK: Taufan kedua diramalkan menghampiri Myanmar semalam, kurang dua minggu selepas negara itu dilanda bencana yang membunuh berpuluh ribu penduduknya.

Pusat cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesan satu lagi ribut tropika yang diramalkan bertukar menjadi taufan, kata Amanda Pitt, jurucakap bagi program bantuan kemanusiaan badan dunia itu di Bangkok.
"Ini adalah berita yang amat buruk," katanya kepada pemberita sambil menambah bahawa ia boleh menjejaskan lagi kedudukan mangsa Taufan Nargis yang melanda 3 Mei lalu yang sebahagiannya masih lagi menunggu untuk mendapat bantuan.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menyebut bila atau di mana taufan itu akan mendarat atau bila ia boleh bertukar menjadi taufan yang sedang dipantau Pusat Cuaca Taufan Bersama, sebahagian daripada Pusat Meteorologi Dunia PBB.

Pusat itu melalui laman webnya berkata ada kemungkinan pembentukan satu taufan tropika yang hampir sama dalam masa 24 jam akan datang.
Negara itu dilanda Taufan Nargis pada 2-3 Mei lalu menyebabkan lebih 60,000 penduduk maut atau hilang.

Pitt berkata jika amaran taufan itu menjadi kenyataan usaha bantuan kepada mangsa Nargis akan terjejas.

"Ini sentiasa membimbangkan apabila anda ditimpa bencana yang menjejaskan penduduk," katanya sambil menambah bahawa ia memberi kesan kepada keupayaan penduduk untuk hidup dan menangani apa yang dihadapi mereka.

"Mereka sudah sedia lemah. Ini adalah satu masalah besar dan sudah tentu memberi kesan terhadap usaha menyediakan bantuan kepada mangsa," katanya.
PBB mengetuai usaha menyelamat antarabangsa yang cuba untuk membantu junta Myanmar mengagihkan bantuan. Setakat ini, usaha itu terbantut berikutan kelewatan junta meluluskan kemasukan bantuan dan pakar sehingga dikritik kebanyakan pertubuhan penyelamat dan dikecam mangsa yang mendakwa bantuan masih belum mencukupi. - AP

MANGSA GEMPA BUMI CHINA

DUJIANGYAN: Sekurang-kurangnya 60,000 orang masih hilang dalam bencana gempa bumi China yang turut mencetuskan kebimbangan akan meningkatkan lagi angka kematian secara mendadak.

Akhbar The Telegraph memetik laporan media tempatan menyatakan, angka kematian rasmi setakat ini adalah 13,000 orang namun agensi berita rasmi menyatakan bilangan yang jauh lebih besar berikutan kehilangan ramai mangsa di Wenchuan, di barat daya Chengdu yang juga ibu kota wilayah Sichuan.

"Di Yingxiu, bandar yang didiami 12,000 orang, hanya seramai 2,300 mangsa ditemui hidup," kata Pengarah Pejabat Bencana bandar itu, He Biao kepada stesen televisyen China.
"Di satu lagi kawasan di barat daya China, 80 peratus rumahnya roboh. Begitu juga jalan raya dan jambatannya dan setakat ini 60,000 penduduknya masih hilang. Ada laporan menyatakan mendengar suara orang di bawah runtuh merayu bantuan, tetapi tiada siapa pun mampu berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai sebarang pasukan bantuan profesional," katanya.

Antara mangsa yang hilang termasuk lebih 24 pelancong Britain dan Amerika Syarikat yang dipercayai mengikuti program meninjau kehidupan panda di Wenchuan. Di kawasan terletaknya Taman Hidupan Semula Jadi Wolong yang menempatkan kumpulan terbesar panda di dunia yang hidup dalam kurungan.

Sementara itu, China menghantar 50,000 askarnya ke Sichuan dalam usaha mencari dan menyelamatkan saki baki mangsa masih hidup yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan dalam gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter, Ahad lalu.
Namun usaha itu sukar kerana mereka perlu menempuh beberapa kejadian tanah runtuh yang memutuskan Wenchuan dari dunia luar.

Setakat ini, kurang 19,000 orang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan di Mianyang - antara bandar paling teruk terjejas.

Sebuah kilang yang terletak di kawasan pinggirnya, hampir ranap akibat gegaran kuat dengan sekurang-kurangnya 500 pekerja dan keluarga mereka, masih hilang, lapor sebuah media tempatan.

Di sebalik kebimbangan berhubung nasib mangsa, keadaan sebaliknya di Mianzhu apabila 500 orang masih hidup dapat ditarik keluar. Namun, angka kematian di kawasan itu meningkat kepada 3,000 orang.
Sepasukan 1,300 tentera dan petugas perubatan yang berjalan kaki, tiba di Wenchuan - mukim yang menyaksikan gempa itu melanda, Ahad lalu.

Tiada pasukan bantuan besar-besaran dengan bantuan peralatan sesuai, dapat memasuki Wenchuan berikutan laluan yang merentasi kawasan pergunungan itu terputus akibat tanah runtuh. Ketika anggota penyelamat bergelut untuk membantu mereka yang terperangkap di kawasan tinggi, mereka di kawasan tanah pamah di bahagian selatan berusaha untuk menarik keluar mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan. - Agensi

RASA BERGOYANG

Bangunan di Taiwan, Thailand, Vietnam serta Pakistan bergoyang

TAIPEI: Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda barat daya China semalam turut dirasakan di Taiwan, Thailand dan Vietnam, tetapi tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan.

Gegaran mengambil masa kira-kira lapan minit untuk sampai ke Taiwan, kepulauan dengan 23 juta penduduk yang terletak kira-kira 1,900 kilometer dari pusat gegaran di wilayah Sichuan, China, kata Biro Cuaca Pusat Taiwan.

Gempa bumi kerap menggegarkan Taiwan, yang terletak antara lapisan Eurasia dan Filipina tetapi kebanyakannya kecil dan menyebabkan sedikit atau tiada kerosakan langsung.
Bagaimanapun, Sichuan tidak terletak di sepanjang lapisan berkenaan dan mengambil masa 100 tahun atau lebih untuk mengumpulkan kuasa mencukupi untuk mencetuskan gegaran sekuat itu, kata pakar kaji cuaca Taiwan, Hsiao Nei-chi.

"Gempa bumi berukuran 7.3 pada skala Richter yang melanda bahagian tengah Taiwan pada September 1990 membunuh lebih 2,300 orang," kata Hsiao.

Gegaran berukuran 7.8 pada skala Richter dianggap kejadian geologi besar yang mampu menyebabkan kerosakan besar dan kecederaan di kawasan padat.
Selain Thailand, gegaran juga dirasakan di Vietnam, yang menyebabkan pejabat di bangunan pencakar langit bergoyang.

"Kami mendapat beberapa laporan bangunan tinggi di sepanjang jalan Sukhumvit dan Sathorn di Bangkok berasa gegaran, tetapi tiada laporan kerosakan," kata pakar geologi di Jabatan Kaji Cuaca Thailand.

Pekerja sebuah bangunan di Bangkok turut dipindahkan selepas gegaran dirasakan di situ.

Sementara itu, bangunan tinggi kediaman dan pejabat di pinggir bandar di barat ibu negara Vietnam, Hanoi, juga bergoyang beberapa saat, kata saksi, tetapi tiada kerosakan dapat dilihat.
Gegaran menyebabkan orang ramai bertempiaran keluar dari bangunan dan membanjiri jalan raya.

Seorang blogger, Mark Tran, dipetik sebagai menyifatkan gempa bumi di Sichuan sebagai menambah kebimbangan pihak berkuasa Beijing, tiga bulan sebelum sukan Olimpik bermula.

Lebih-lebih lagi, Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri, Wen Jiabao pada Januari lalu menggesa pegawainya memperbaiki usaha menangani kes kecemasan gempa bumi supaya sukan Olimpik berjalan lancar.

Katanya, gempa itu adalah bencana alam kedua melanda Asia dalam tempoh beberapa minggu selepas taufan Nargis mencetuskan masalah kemanusiaan di Myanmar.

"China menghadapi tekanan kuat negara Barat supaya memujuk Myanmar membenarkan agensi bantuan luar menghantar bekalan kepada penduduk di kawasan paling teruk. Bagaimanapun, berikutan gempa itu, China tentu memberi lebih banyak perhatian kepada wilayah terbabit, suatu berita tidak baik bagi Myanmar," kata blogger itu. � AP/Reuters/Agensi

8,533 KORBAN GEMPA CHINA

BEIJING: Seramai 8,533 orang dipercayai terbunuh apabila gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter melanda Sichuan, wilayah barat daya China, yang gegarannya turut dirasai sehingga ke Thailand, Taiwan dan Vietnam, semalam.

Sekurang-kurangnya 10,000 lagi cedera manakala 80 peratus bangunan runtuh dan angka korban dijangka lebih tinggi, termasuk 900 pelajar sebuah sekolah yang tertimbus. Gempa kuat di Sichuan, kira-kira 100 kilometer dari ibu kotanya, Chengdu, turut menyebabkan hubungan di beberapa kawasan terputus.

Menurut agensi berita Xinhua, pusat gempa di daerah Wenchuan menyebabkan bangunan di sekurang-kurangnya enam kawasan roboh. Wenchuan mempunyai kira-kira 100,000 penduduk. Talian telefon di Sichuan dan Wenchuan serta 11 daerah lain juga dilaporkan terputus.

Di Lirang, wilayah Chongqing, empat kanak-kanak dilaporkan terbunuh selepas sebuah sekolah runtuh, manakala 10 lagi maut dan 14 parah di wilayah Gansu.

Di Beijing dan Shanghai, ribuan pekerja meninggalkan pejabat apabila bergegar. Bagaimanapun, tiada kerosakan dilaporkan di ibu negara China yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Ogos depan, termasuk di Stadium ‘Bird’s Nest’.

Agensi Geologi Amerika Syarikat (USGS) dalam laman webnya, http://earthquake.usgs.gov, melaporkan gempa bumi itu berlaku pada jam 6.28 pagi waktu antarabangsa dengan kedalaman 29 kilometer.
Agensi berkenaan pada awalnya meletakkan kekuatan gempa bumi itu pada 7.8 pada skala Richter.

Sumber berkata, gempa bumi itu bagaimanapun tidak memberi impak besar kepada projek Tiga Empangan Gorges, terletak beberapa ratus kilometer dari Chengdu, yang berat takungannya dikatakan pakar boleh meningkatkan risiko gegaran.

Chengdu, kota metropolitan yang pesat membangun dengan 10 juta penduduk dan lokasi kepada Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi, terletak kira-kira 1,300 kilometer ke barat daya Beijing.

“Semua bangunan bergoyang,” kata seorang penuntut universiti di pusat bandar raya Wuhan. - Reuters

KORBAN PUTTING BELIUNG OKLAHOMA-MISSOURI

SENECA: Puting beliung yang berputar melintasi sempadan Oklahoma-Missouri kelmarin membunuh sekurang-kurangnya 19 orang dan mencederakan ramai mangsa serta memusnahkan banyak bangunan.

Agensi Pengurusan Bencana Negeri berkata, 10 daripada mangsa terbunuh apabila puting beliung itu mendarat berhampiran bandar Seneca, berhampiran sempadan Oklahoma.

Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh ketika puting beliung terbabit meratakan bandar timur laut Oklahoma di Picher, kata pihak berkuasa.

“Petugas kecemasan kini menuju ke kawasan paling teruk terjejas dan mencari di sebalik kemusnahan mangsa yang masih hidup,” kata jurucakap Sema, Susie Stonner.

Namun, katanya petugas kecemasan menghadapi masalah melakukan kerja kerana suasana gelap akibat bekalan elektrik terputus.

Jumlah mereka yang cedera di seluruh kawasan itu tidak dapat dipastikan walaupun akhbar The Joplin (Missouri) Globe melaporkan lebih 90 orang dirawat di hospital Joplin.
Puting beliung di Picher - bekas bandar perlombongan yang tercemar dan mengalami kemelesetan sehingga mengakibatkan ramai berpindah - menyebabkan kemusnahan teruk di kawasan sepanjang 20 blok, kata jurucakap Pengurusan Kecemasan Oklahoma, Michelann Ooten.

“Mereka sedang mencari di sebalik runtuhan mangsa yang masih hilang. Ramai mangsa yang cedera,” katanya.

Gabenor Oklahoma Brad Henry mengeluarkan kenyataan menyatakan tindak balas kecemasan sedang dilaksanakan. Beliau melawat kawasan itu semalam.

“Kami bersedih bersama penduduk Picher dan semua kawasan lain di Oklahoma yang dilanda puting beliung dahsyat ini,” kata Henry.
Rakaman televisyen menunjukkan beberapa bangunan rosak di bahagian luar serta rumah yang musnah di barat McAlester serta berhampiran Haywood, Oklahoma. Di sebuah kilang kaca di barat daya McAlester, angin kencang itu menerbangkan sebuah treler dan menghempasnya ke atas tong sampah.

Di kawasan sering berlaku puting beliung di Arkansas, angin yang berputar itu meruntuhkan rumah dan premis perniagaan dan terdapat laporan beberapa orang terperangkap dalam bangunan, kata pegawai Perkhidmatan Kaji Cuaca tempatan, John Robinson.

Sekolah Asas Central Park di barat laut Arkansas di Bentonville mengalami kerosakan bumbung dan tingkap sementara kerosakan sama dilaporkan di sekolah pertengahan Pine Creek.

Puting beliung itu masih aktif pada waktu malam dan bergerak ke arah timur dengan beberapa amaran ia akan menyeberangi kawasan gandum dan bahagian selatan.

Penyelamat mengeluarkan seorang lelaki yang terperangkap di dalam kenderaannya di barat Tennessee selepas sebatang pokok tumbang, kata anggota bomba Memphis.

Pihak berkuasa Memphis berkata, mereka menerima laporan tiang elektrik dan pokok tumbang namun tiada kecederaan berlaku.

Puting beliung mengorbankan 13 orang di Arkansas 5 Februari lalu. - AP