Saturday, May 17, 2008

KORBAN PUTTING BELIUNG

Operasi menyelamat sukar kerana suasana gelap akibat elektrik terputus

PICHER (Oklahoma): Pasukan penyelamat dan anjing pengesan mulai mencari mangsa atau mayat dalam timbunan serpihan selepas puting beliung dan angin ribut melanda kawasan berkenaan kelmarin, mengakibatkan sekurang-kurangnya 22 orang terkorban di tiga negeri.

Tujuh orang terkorban di Picher, sebuah kawasan perlombongan dan pegawai penyelamat berharap mereka tidak akan menjumpai lagi mangsa yang terkorban.

Ribut berkenaan juga melanda di barat daya Missouri di mana puting beliung berkenaan membunuh sekurang-kurang 14 yang lain. Ribut itu turut beredar ke ke timur semalam dan mengakibatkan seorang lagi terkorban di Georgia.

“Petugas kecemasan kini menuju ke kawasan paling teruk terjejas dan mencari di sebalik kemusnahan mangsa yang masih hidup,” kata jurucakap Sema, Susie Stonner.

Namun, katanya petugas kecemasan menghadapi masalah melakukan kerja kerana suasana gelap akibat bekalan elektrik terputus.
Jumlah mereka yang cedera di seluruh kawasan itu tidak dapat dipastikan walaupun akhbar The Joplin (Missouri) Globe melaporkan lebih 90 orang dirawat di hospital Joplin.

Puting beliung di Picher - bekas bandar perlombongan yang tercemar dan mengalami kemelesetan sehingga mengakibatkan ramai berpindah - menyebabkan kemusnahan teruk di kawasan sepanjang 20 blok, kata jurucakap Pengurusan Kecemasan Oklahoma, Michelann Ooten.

“Mereka sedang mencari di sebalik runtuhan mangsa yang masih hilang. Ramai mangsa yang cedera,” katanya.

Gabenor Oklahoma Brad Henry mengeluarkan kenyataan menyatakan tindak balas kecemasan sedang dilaksanakan. Beliau melawat kawasan itu semalam.
“Kami bersedih bersama penduduk Picher dan semua kawasan lain di Oklahoma yang dilanda puting beliung dahsyat ini,” kata Henry.

Rakaman televisyen menunjukkan beberapa bangunan rosak di bahagian luar serta rumah yang musnah di barat McAlester serta berhampiran Haywood, Oklahoma. Di sebuah kilang kaca di barat daya McAlester, angin kencang itu menerbangkan sebuah treler dan menghempasnya ke atas tong sampah.

Di kawasan sering berlaku puting beliung di Arkansas, angin yang berputar itu meruntuhkan rumah dan premis perniagaan dan terdapat laporan beberapa orang terperangkap dalam bangunan, kata pegawai Perkhidmatan Kaji Cuaca tempatan, John Robinson.

Sekolah Asas Central Park di barat laut Arkansas di Bentonville mengalami kerosakan bumbung dan tingkap sementara kerosakan sama dilaporkan di sekolah pertengahan Pine Creek.

Puting beliung itu masih aktif pada waktu malam dan bergerak ke arah timur dengan beberapa amaran ia akan menyeberangi kawasan gandum dan bahagian selatan.

Penyelamat mengeluarkan seorang lelaki yang terperangkap di dalam kenderaannya di barat Tennessee selepas sebatang pokok tumbang, kata anggota bomba Memphis.

Pihak berkuasa Memphis berkata, mereka menerima laporan tiang elektrik dan pokok tumbang namun tiada kecederaan berlaku. - AP

No comments: