Saturday, May 17, 2008

8,533 KORBAN GEMPA CHINA

BEIJING: Seramai 8,533 orang dipercayai terbunuh apabila gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter melanda Sichuan, wilayah barat daya China, yang gegarannya turut dirasai sehingga ke Thailand, Taiwan dan Vietnam, semalam.

Sekurang-kurangnya 10,000 lagi cedera manakala 80 peratus bangunan runtuh dan angka korban dijangka lebih tinggi, termasuk 900 pelajar sebuah sekolah yang tertimbus. Gempa kuat di Sichuan, kira-kira 100 kilometer dari ibu kotanya, Chengdu, turut menyebabkan hubungan di beberapa kawasan terputus.

Menurut agensi berita Xinhua, pusat gempa di daerah Wenchuan menyebabkan bangunan di sekurang-kurangnya enam kawasan roboh. Wenchuan mempunyai kira-kira 100,000 penduduk. Talian telefon di Sichuan dan Wenchuan serta 11 daerah lain juga dilaporkan terputus.

Di Lirang, wilayah Chongqing, empat kanak-kanak dilaporkan terbunuh selepas sebuah sekolah runtuh, manakala 10 lagi maut dan 14 parah di wilayah Gansu.

Di Beijing dan Shanghai, ribuan pekerja meninggalkan pejabat apabila bergegar. Bagaimanapun, tiada kerosakan dilaporkan di ibu negara China yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Ogos depan, termasuk di Stadium ‘Bird’s Nest’.

Agensi Geologi Amerika Syarikat (USGS) dalam laman webnya, http://earthquake.usgs.gov, melaporkan gempa bumi itu berlaku pada jam 6.28 pagi waktu antarabangsa dengan kedalaman 29 kilometer.
Agensi berkenaan pada awalnya meletakkan kekuatan gempa bumi itu pada 7.8 pada skala Richter.

Sumber berkata, gempa bumi itu bagaimanapun tidak memberi impak besar kepada projek Tiga Empangan Gorges, terletak beberapa ratus kilometer dari Chengdu, yang berat takungannya dikatakan pakar boleh meningkatkan risiko gegaran.

Chengdu, kota metropolitan yang pesat membangun dengan 10 juta penduduk dan lokasi kepada Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi, terletak kira-kira 1,300 kilometer ke barat daya Beijing.

“Semua bangunan bergoyang,” kata seorang penuntut universiti di pusat bandar raya Wuhan. - Reuters

No comments: